Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Alishahrin Haji Mumin / Ihsan Jabatan Penjara
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 April. - Sebagai acara tahunannya sempena memperingati penubuhan Jabatan Penjara Ke-71 tahun yang diraikan setiap 1 Mac, Jawatankuasa Keagamaan Jabatan Penjara telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid As-Salam, Kampung Junjongan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Haji Mohammad Yassin, Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar berjemaah dan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran dan Doa 'Peliharakan Sultan' dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pemangku Ketua Imam Masjid As-Salam, Awang Mohammad Azri bin Abdullah @ Abdul Rahman.
Acara diteruskan lagi dengan penyampaian sumbangan barang wakaf berupa satu set meja dan kerusi untuk menyampaikan ceramah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Awang Mohammad Azri.